Selasa, 31 Julai 2012

Penternakan Burung Puyuh

Assalamualaikum wm wbkh...

Reban penternakan komersil burung puyuh - Gambar ehsan http://hamydy.wordpress.com    


Sebagaimana yang kita semua maklum kini bahawa penternakan kambing merupakan suatu projek penternakan jangka panjang yang memakan masa yang lama untuk meraih pulangan. Ini disebabkan oleh jangka masa yang lama bagi kambing untuk mengeluarkan hasil (anak) di mana kambing bunting selama kira-kira 5 bulan. Penternak juga harus mengambil kira bahawa kebiasaannya kambing dijual setelah berusia setahun atau lebih. Setelah mengambil kira tempoh mengawan sebelum induk kambing bunting, penternakan kambing sebenarnya mengambil masa sehingga kira-kira setahun setengah atau lebih sebelum penternak mula mengecapi pulangan.

Jadi, adalah sangat perlu bagi para penternak kambing untuk mengusahakan projek penternakan sampingan   jangka pendek untuk menampung keperluan aliran tunai mereka.

Di antara projek penternakan jangka pendek yang boleh diceburi oleh penternak kambing adalah penternakan burung payah, selain penternakan ayam itik dan sebagainya.

Makluman : Kami TIDAK MENJUAL burung puyuh


Kepada yang berminat mengetahui sedikit sebanyak mengenai kaedah asas penternakan burung puyuh, bolehlah melayari laman web Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, atau klik adi pautan di bawah:

http://www.dvssel.gov.my/penternakan/puyuh/puyuh_pedaging.html


Di bawah ini pula saya paparkan berita semasa yang saya perolehi dari KOSMO mengenai penternakan burung puyuh yang dijalankan oleh seorang usahawan ternak Bumiputera dari Kuantan, Pahang iaitu En. Norhan Mohd Noor.


KOSMO Online

USAHAWAN PENTERNAKAN BURUNG PUYUH


Sanggup berhenti kerja yang menjanjikan pendapatan tetap bulanan, kejayaan ternakan burung puyuhnya membuatkan Norhan Mohd. Nor tersenyum puas.


SALAH satu cara paling berkesan adalah dengan memasang lagu berirama rock, pop, nasyid dan kontemporari di dalam reban untuk mengurangkan stres burung puyuh.



MENGUBAH haluan pekerjaan bukanlah suatu perkara mudah untuk dilakukan. Apatah lagi, jika pekerjaan sebelum ini menjanjikan pendapatan tetap bagi menampung kehidupan seharian keluarga.
Semestinya, pelbagai aspek harus diberi pertimbangan dan diambil kira dengan teliti sebelum membuat keputusan besar yang bakal menentukan nasib dan masa depan keluarga.
Namun, bagi usahawan bumiputera, Norhan Mohd Nor, 32, beliau tidak pernah menyesal untuk menceburi bidang yang dianggapnya memiliki prospek untuk terus berkembang sekali gus menampung pasaran tempatan yang sentiasa mendapat sambutan hangat.
"Saya berhenti daripada kerjaya bidang perhotelan dan pengangkutan yang telah diceburi selama hampir 14 tahun. Kemudian, saya mengikuti kursus yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan, (JPH) Negeri Pahang.
"Selepas menimba ilmu, saya memulakan ternakan burung puyuh pada tahun 2004 di tanah milik bapa secara kecil-kecilan dengan mengeluarkan kira-kira 6,500 ekor puyuh sebulan.
"Sekali mencuba, saya tidak akan berpatah ke belakang. Kecekalan dan keazaman menjadi tonggak utama buat saya untuk terus berusaha dan syukur, setakat ini segalanya berjalan lancar," katanya ketika ditemui Kosmo!, baru-baru ini.
Ditanya mengenai modal yang dikeluarkan, beliau mengakui terpaksa mengeluarkan belanja besar iaitu hampir RM60,000 bagi menyediakan pelbagai kemudahan buat puyuh peliharaannya.
Antara aset yang perlu disediakan ialah rumah tetasan, dua reban puyuh, peti ais besar dan mesin memproses daging.
Meskipun puyuh diternak di dalam reban yang dipenuhi habuk kayu atau cebisan surat khabar lama, tahap kebersihan di persekitarannya masih diutamakan.
"Setiap kali pusingan, saya akan masukkan sebanyak 15 hingga 16 ribu ekor anak puyuh yang dibeli dengan harga RM0.45 seekor dari Institut Kemajuan Ternakan Ayam (IKTA), Johor.
"Rutin penjagaan bermula seawal pagi di mana saya akan memberi makan dedak kepada burung puyuh ini, seterusnya pada waktu tengahari dan petang.
"Reban juga akan diperiksa bagi memastikan soal kebersihan dijaga rapi dan jika terjumpa bangkai puyuh yang mati, ia harus dibuang dengan segera bagi mengelakkan penyakit," katanya.
Beliau berkata, setelah cukup tempoh penjagaan selama 22 hari hingga 35 hari, burung puyuh yang dibela sudah boleh diproses untuk dijual secara borong mahupun runcit kepada pemilik restoran di sekitar Kuantan, Pahang.
"Harga pasaran bagi sekilogram daging puyuh di pasaran ketika ini agak baik iaitu antara RM14 hingga RM17 sekilogram, bergantung kepada saiz burung puyuh.
"Biasanya, saya menjual daging puyuh dengan harga RM14 bagi lima ekor, RM15 untuk enam ekor dan RM16 bagi lapan ekor," jelasnya yang kini mampu menjual baka dan telur puyuh jika mendapat permintaan daripada orang ramai.
Dengan keupayaan mengeluarkan 22,000 kilogram daging puyuh sebulan, Norhan mampu tersenyum dengan hasil lumayan yang diperoleh daripada penjualan puyuh yang diusahakannya.
Berbeza dengan reban ternakan lain, jangan hairan jika anda terdengar irama muzik rock, hip-hop dan nasyid berkumandang ketika pertama kali melawat reban puyuh milik Norhan di Pusat Ternak Sinar Jaya Puyuh di Kampung Permatang Badak dekat Kuantan, Pahang.
Bagi Norhan, kaedah yang digunakan adalah untuk mengurangkan tekanan atau stres yang dihadapi oleh anak puyuh peliharaannya yang baru dimasukkan ke dalam reban.
"Puyuh ketika masih kecil amat sensitif dengan bunyi bising di sekitarnya di mana pembesarannya boleh terencat atau mati kerana terlalu tertekan.
"Sebab itu, kebanyakan penternak menjalankan perusahaan kira-kira lima kilometer dari kawasan penempatan atau aktiviti manusia bagi mengelakkan tekanan kepada burung puyuh mereka," katanya.
BURUNG puyuh ketika masih kecil amat sensitif dengan bunyi bising di sekitarnya di mana pembesarannya boleh terencat atau mati kerana terlalu tertekan.


Tambah Norhan, beliau tidak mempunyai pilihan kerana kawasan ternakannya agak hampir dengan lapangan terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
"Setiap hari, pasti kedengaran bunyi deruman enjin pesawat yang melintasi ruang udara di kawasan ini.
"Jadi, salah satu cara paling berkesan adalah dengan memasang lagu berirama rock, pop, nasyid dan kontemporari," katanya.
Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, Norhan berkata, ternakan puyuh miliknya pernah mati mencecah ratusan ekor akibat tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi berikutan pencemaran bunyi dari landasan terbang itu.
"Saya pada mulanya hairan kenapa burung puyuh saya mati dengan mengejut dalam jumlah yang banyak.
"Setelah mengkaji dan merujuk kepada Jabatan Haiwan, saya mendapat penyelesaian ini dan sehingga kini, ia terbukti mampu mengurangkan kadar kematian kepada satu peratus," katanya.
Untuk memastikan puyuh kekal ceria dan sihat, Norhan turut mengamalkan beberapa kaedah termasuk bermain-main dengan ternakannya apabila terdapat waktu senggang ketika memberi makan.
"Mereka (puyuh) seperti anak kecil yang memerlukan belaian dan kasih sayang setiap masa.
"Apabila haiwan ini terkena penyakit seperti lelah, saya akan menyediakan ramuan ubatan dan sup, pendek kata, saya menjaga mereka tak ubah macam anak sendiri," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm

3 ulasan:

Unknown berkata...

salam..boleh sy dptkn no hp pengusaha puyuh dlm berita kosmo 2?

ternak puyuh berkata...

wah terima kasih atas informasinya, adakah solusi penjualan untuk nya

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum..saya berminat untuk menternak puyuh.berapa harga untuk sekor anak burung puyuh ?0148065987 merternak untuk makan sendiri saja.